dubb95.blogspot.com

dubb95.blogspot.com

About me

22 July 2013

STPM : Kesan Pencemaran Sungai


     Sungai merupakan khazanah anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Namun apa yang kita ketahui ialah keindahannya telah dimusnahkan berikutan kerakusan manusia yang mencuba sedaya upaya untuk mengeksploitasinya. Khazanah samudera negara juga tidak terlepas daripada kerakusan manusia. Perairan negara telah dicemari oleh manusia dengan sisa-sisa toksik kilang, efluen manusia dan binatang serta tumpahan minyak yang mengakibatkan pencemaran sungai menjadi semakin serius pada masa kini. Terdapat beberapa kesan negatif yang telah disebabkan oleh pencemaran sungai akibat daripada perbuatan manusia yang tidak bermoral ini.  

     Dari aspek ekonomi, pencemaran sungai yang berlaku ini telah telah menambahkan bebanan kerajaan bagi membaikpulih keadaan sungai yang telah tercemar. Hal ini telah menyebabkan kos pembersihan meningkat. Umpamanya, dalam RMK-8, sebanyak RM250 juta telah diperuntukan untuk pembersihan dan pengindahan sungai yang tercemar ini. Bagi mengurangkan bebanan kerajaan, kempen ‘Cintai Sungai Kita’ perlu diperkasakan lagi dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana pencemaran sungai telah membazirkan kewangan negara. Alangkah baiknya jika kewangan ini dapat disalurkan bagi meningkatkan lagi pembangunan negara. Oleh sebab itu, masyarakat setempat seharusnya memastikan kebersihan sungai sentiasa terpelihara agar tidak menambahberatkan lagi bebanan kerajaan.

     Seterusnya, pencemaran sungai yang semakin menjadi-jadi ini akan menjejaskan industri pelancongan bagi negara kita. Hal ini disebabkan oleh tumpahan minyak dan sampah-sampah sarap telah menyebabkan bau yang tidak selesa serta menjejaskan kawasan terumbu karang apabila berlakunya pencemaran air di negara kita. Bukan itu sahaja, pulau dan pantai akan kurang dikunjungi oleh pelancong-pelancong asing seandainya tarikan alam marin ini terjejas dan musnah. Pelancong-pelancong asing yang menginginkan sungai dan tasik yang bersih akan berasa kecewa apabila melihat pencemaran air di negara kita. Tiada lagi aktiviti rekreasi seperti berenang, berkayak dan memancing kerana persekitaran telah tercemar dan tidak sesuai lagi untuk dijadikan sebagai tempat yang berkesan bagi menenangkan fikiran sesetengah pelancong.

     Manakala, kesan pencemaran sungai dari aspek sosial ialah pencemaran sungai ini akan mengakibatkan kepupusan hidupan akuatik kerana pencemaran sungai ini telah menjejaskan semua hidupan akuatik di sungai. Hal ini menyebabkan binatang marin seperti ikan dan udang akan terjejas disebabkan pencemaran sungai serta membunuh tumbuhan air seperti pokok bakau. Selain itu, pencemaran sungai ini juga akan mengganggu kestabilan rantaian makanan bagi hidupan akuatik di sungai. Hal ini kerana setiap hidupan air mempunyai hubungan saling bergantung antara satu sama lain. Akhirnya, ketidakstabilan rantaian makanan ini akan menyebabkan kepupusan haiwan akuatik menjadi semakin berleluasa. Selain itu, pencemaran sungai ini akan menjejaskan kesihatan manusia yang terdedah dengan air kotor. Disebabkan air sungai menjadi kotor, manusia juga akan kehilangan sumber air bersih. Menurut laporan Program Alam Sekitar Bangsa-bangsa Bersatu, hampir 1.4 ribu juta dari penduduk di muka bumi ini tidak akan mendapat bekalan air bersih bagi menampung keperluan harian mereka. Persoalannya, salah siapa?. Lantaran itu, pencemaran sungai ini akan menatijahkan penyebaran bakteria, virus dan parasit melalui bahan buangan yang dibuang ke dalam sungai dengan mudah. Akhirnya, penyebaran mikroorganisma ini akan mengakibatkan penyakit bawaan air seperti cirit-birit, sakit perut dan muntah-muntah semakin meningkat. Pada tahun 2005, WHO memperkirakan sekitar 1.6 juta penduduk meninggal akibat air yang tidak bersih.

     Sudah terang lagi bersuluh bahawa pencemaran sungai ini menjejaskan sumber pendapatan penduduk setempat khususnya bagi para nelayan. Hal ini kerana hidupan air yang tinggal di kawasan air kotor akan berpindah habitat yang lebih selamat. Apa yang kita dapat lihat ialah melalui tumpahan minyak atau pembuangan sampah ke dalam sungai akan menyebabkan segala peralatan yang digunakan para nelayan rosak. Seterusnya, nelayan yang kurang pendapatan ini terpaksa membaikpulih segala kerosakan peralatan-peralatan penting bagi nelayan untuk menangkap ikan, udang dan sebagainya. Misalnya, tumpahan minyak di Pengerang telah menjejaskan pendapatan nelayan di situ memandangkan sumber pendapatan utama penduduk sekitarnya bekerja sebagai nelayan.

     Konklusinya, ternyata sungai amat penting bagi setiap penduduk di bumi untuk meneruskan hidup. Tambahan pula, pencemaran sungai di negara kita telah meninggalkan parut yang sukar untuk disembuhkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Senario ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana akan memberi kesan negatif terhadap aspek-aspek tertentu. Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar, bersama-samalah kita berhempas-pulas memelihara dan mengekalkan keindahan serta kebersihan sungai kita.