dubb95.blogspot.com

dubb95.blogspot.com

About me

12 July 2013

STPM : Gaji Minimum


     Pengenalan gaji minimum kepada pekerja merupakan langkah terbaru kerajaan Malaysia untuk meningkatkan taraf pendapatan rakyat negara ini ke arah menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Konsep gaji minimum telah diamalkan di negara-negara maju dan menjadi ikutan masyarakat lain. Dianggarkan jumlah terbaik gaji minimum di Malaysia ialah antara RM700 hingga RM900 sebulan.

     Rasional pengenalan kaedah ini ialah untuk memberi ruang kepada pekerja bagi menikmati pendapatan dan pada masa yang sama dapat membuat simpanan walaupun jumlahnya kecil. Untuk rekod, Malaysia adalah antara negara yang penduduknya memiliki kadar tabungan tertinggi di dunia. Di peringkat makroekonomi, gaji minimum menjadi perangsang yang sangat berkesan kepada perbelanjaan pengguna. Maksudnya pengguna akan berbelanja lebih banyak dan kesannya ialah lebih banyak barang dijual dan merancakkan perniagaan.

     Dari perspektif individu dan keluarga, gaji minimum membawa keluar mereka dari kepompong kemiskinan yang melingkari kehidupan dan membentuk kesejahteraan keluarga. Keluhan ketua keluarga akan berkurangan kerana dia mempunyai lebihan wang untuk menyara kehidupan keluarga apatah lagi kenaikan kos hidup, harga barang dan pengangkutan yang semakin bertambah dapat diatasi. Jika dicampurkan jumlah gaji minimum dalam kalangan mereka yang bekerja dalam sebuah isi rumah, secara tidak langsung jumlah berkenaan tentu dapat mengurangkan beban kewangan keluarga. Dalam jangka masa panjang, kadar kemiskinan akan berkurangan secara mendadak, tahap pendidikan menjadi lebih baik dan kesihatan masyarakat lebih berkualiti.

     Masyarakat juga dapat menguruskan perbelanjaan dengan lebih berhemah kerana dapat memperuntukkan sejumlah wang untuk barang keperluan dan simpanan. Sebahagian wang berkenaan dapat disalurkan untuk pendidikan khususnya membeli buku, hadir kelas tuisyen dan mendapatkan pakaian yang lebih baik untuk mendorong anak-anak belajar dengan gigih. Keluarga kecil dengan tiga orang anak bersekolah dapat mengurus perbelanjaan sekolah anak-anak mereka dengan lebih cekap dan berkesan.

     Dalam komuniti, gaji minimum membolehkan pengguna membelanjakan wang di premis perniagaan dalam kawasan mereka dan tidak banyak bergantung kepada agensi kebajikan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan atau Baitulmal. Sebagai timbal baliknya, kerajaan tidak perlu menaikkan kadar cukai kerana kebergantungan ke atas institusi kebajikan telah berkurangan. Golongan yang enggan bekerja ini dan hanya berharap kepada bantuan kerajaan akan berfikir untuk mencari kerja selepas mencongak pendapatan yang akan diperolehi setelah mereka bekerja. Biasanya wang bantuan dari kerjaan tidak sebanyak gaji minimum. Melalui congakan yang dibuat, tentulah mereka memilih mencari kerja dan soal pengangguran dapat diatasi.

     Perniagaan turut mendapat kebaikan iaitu mengurangkan kos untuk latihan semula dalam kalangan pekerja. Moral pekerja juga akan meningkat dan menambah produktiviti. Majikan tidak lagi bersusah payah memikirkan pekerja akan lari atau kerap tidak datang kerja. Dari segi membuat perbelanjaan, gaji minimum memberi kemudahan kepada majikan untuk menyusun peruntukan perbelanjaan dan gaji kepada pekerja mereka.

     Faedah terbesar ialah kepada kelompok pekerja di peringkat bawahan seperti buruh, pekerja hotel dan restoran serta mereka yang dibayar gaji harian kerana mendapat pendapatan yang lebih besar. Selepas mendapat upah yang sebanding dengan tenaga yang diberi, kelompok ini mampu untuk membeli barang keperluan yang lebih berkualiti.

     Pembayar cukai mendapat faedahnya kerana kerajaan tidak perlu mengenakan cukai untuk membayar gaji. Majikan perlu lebih kreatif memikirkan kaedah untuk menambah pendapatan syarikat melalui peningkatan produktiviti dan pengenalan teknologi tinggi untuk menambah keuntungan. Cukai yang dipungut oleh kerajaan adalah cukai korporat.

     Negara secara keseluruhannya mendapat faedah bersama. Gaji minimum membantu masyarakat luar bandar khususnya dari segi kebajikan dan dapat mengurangkan jurang di antara golongan kaya dan golongan miskin di Malaysia. Masalah keadilan sosial akan berlaku jika jurang ini tidak dikecilkan segera.