dubb95.blogspot.com

dubb95.blogspot.com

About me

12 July 2013

STPM : Dasar 1 Murid 1 Sukan


     Sedasarwarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia disegenap empat penjuru dunia berkaitan dengan isu 1 Murid 1 Sukan. 1 Murid 1 Sukan merupakan satu dasar baru yang telah dilancarkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Haji Mohammad Yassin. 1 Murid 1 Sukan dapat ditakrifkan sebagai satu aktiviti yang diketegorikan dalam aktiviti kokurikulum yang mewajibkan setiap pelajar memilih sekurang-kurangnya satu jenis aktiviti sukan. Kegiatan 1 Murid 1 Sukan telah dilancarkan sejak tahun 2008 sehingga sekarang supaya dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan kalangan murid di sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

     Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sukan. Hal ini demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan.

     Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dlm kalangan murid agar menjadi masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang kerana kerajaan sedar semakin ramai rakyat Malaysia mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang mengidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat kerana kurang mengamalkan aktiviti bersukan. Tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan bertujuan untuk membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa.

     Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.  

     Seterusnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi “ulat buku” kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Masa yang ada diisi dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen di luar sekolah . Tambahan pula, mereke lebih suka melayari internet dan berinteraksi dengan kawan-kawan apabila ada masa lapang daripada turun ke padang dan gelanggang untuk bersukan.

     Akhir sekali, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia, disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.

     Konklusinya, Dasar 1 Murid 1 Sukan membawa banyak kebaikan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Semua pihak perlu berusaha agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti. ‘’MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’’ (998 patah perkataan)