dubb95.blogspot.com

dubb95.blogspot.com

About me

27 July 2013

Pertandingan Mengarang Esei Kenegaraan : Perpaduan , Sarawak Negeri Contoh


     Menurut Tan Sri Mustafa Jabar, “tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang mencapai kemajuan dengan hanya bermodalkan kata-kata, sebaliknya bangsa yang maju ialah mereka yang gigih berusaha”. Mutiara kata inilah yang telah menjadi aspirasi utama masyarakat negeri Sarawak atau lebih dikenali sebagai “Bumi Kenyalang” bagi mengkonsolidasikan lagi perpaduan kaum serta membolehkan rakyat Sarawak yang berbilang kaum hidup aman sentosa di bawah satu bumbung. Aspirasi ini bermaksud setiap bangsa yang ingin melihat bangsanya berjaya dari aspek perpaduan kaum, mereka haruslah berusaha terlebih dahulu dan bukan hanya bergantung dengan kata-kata sahaja bahkan memerlukan seluruh tenaga daripada pelbagai bangsa serta berpegang pada prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing atau ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Seterusnya, kepelbagaian bangsa di Sarawak seperti Iban, Melayu, Cina, Kelabit, Kenyah, Kayan, Bidayuh, Penan, India dan sebagainya telah memanifestasikan semangat perpaduan kaum yang erat dalam kalangan masyarakat. Rakyat Sarawak juga mengamalkan amalan bersopan-santun dan bertolak ansur antara satu sama lain. Setiap suku kaum di Sarawak saling menghormati kebudayaan, adat, kepercayaan dan cara hidup suku kaum yang lain. Hal ini bertujuan untuk menghindari tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang telah banyak mengkorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda. Persoalannya, Mengapakah negeri Sarawak dijadikan sebagai negeri contoh dalam menyatupadukan perpaduan kaum?  

     Negeri Sarawak dijadikan sebagai negeri contoh dalam menyatupadukan perpaduan kaum atas dasar penerapan Konsep 1 Malaysia yang berkesan dalam kalangan rakyat Sarawak telah melahirkan masyarakat yang saling menghormati dan membantu antara satu dengan yang lain ibarat aur dengan tebing demi menjaga kepentingan perpaduan kaum. Hal ini telah menatijahkan rakyat Sarawak sedar betapa pentingnya perpaduan kaum bagi memastikan rakyat hidup dengan aman sentosa di bawah satu komuniti besar. Perkara ini amat signifikan agar hubungan antara kaum di Sarawak dapat dizahirkan bagi memastikan perpaduan kaum kekal utuh dan teguh. Ada pepatah Melayu yang menyatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Lantaran itu, penerapan Konsep 1 Malaysia dalam kalangan rakyat Sarawak ini juga telah membina masyarakat yang sentiasa berpandangan positif terhadap penerimaan semua agama, kaum, adat, kepercayaan dan budaya yang berbeza dalam komuniti besar tanpa ada berlakunya persengketaan dan perselisihan faham. Oleh itu, penerapan Konsep 1 Malaysia telah berjaya menyatupadukan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat setempat sehingga negeri Sarawak telah dijadikan sebagai satu simbol perpaduan.

     Di Sarawak, masyarakat majmuk telah disatupadukan melalui pembinaan Sekolah Wawasan. Hal yang demikian kerana Sekolah Wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk generasi muda yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa akan berinteraksi secara implisit antara satu sama lain. Hal ini dapat memanifestasikan masyarakat Sarawak yang mudah menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan. Kata orang, masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak. Interaksi pergaulan ini telah membantu generasi muda menyesuaikan diri dengan budaya masing-masing. Bukan itu sahaja, generasi muda juga berpeluang untuk mengenali dan mempelajari bahasa-bahasa pertuturan yang berbeza atas dasar kepelbagaian bangsa. Tindakan penubuhan Sekolah Wawasan ini telah berjaya menghindarkan perasaan syak wasangka di antara suku kaum di Sarawak. Senario ini adalah merupakan satu usaha dalam menyatukan dan mengeratkan lagi perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Sarawak. Melalui pembinaan Sekolah Wawasan ini juga, persefahaman kaum telah dipupuk dan seterusnya mengkonsolidasikan perpaduan kaum di Sarawak.

     Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemajuan negeri Sarawak dalam bidang teknologi maklumat telah berjaya membentuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar. Pembentukkan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak dapat dikonsolidasikan lagi menerusi kewujudan wahana am seperti radio dan televisyen. Stesen radio utama di Sarawak terletak di bahagian Kuching. Stesen radio ini memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat-maklumat tertentu secara komprehensif dari kawasan bandar sehingga ke kawasan pendalaman. Maklumat yang disampaikan dari satu kawasan ke kawasan yang lain dalam pelbagai bahasa iaitu Iban, Melayu, Cina, Kelabit, Kenyah, Kayan, Bidayuh, Penan, India dan sebagainya. Pendedahan pelbagai bahasa ini telah mewujudkan keinginan rakyat Sarawak untuk mempelajari bahasa-bahasa daripada suku kaum yang berbeza. Selain itu, perpaduan juga dapat dipupuk melalui rancangan televisyen. Rancangan dokumentari yang memaparkan tentang keunikan pelbagai kaum di Sarawak ini dapat disiarkan bagi mendedahkan keunikan budaya dan adat resam yang berbeza terhadap masyarakat setempat agar rakyat tidak diibaratkan seperti katak di bawah tempurung, bagai ulat di dalam kepompong. Umpamanya, rancangan dokumentari ini disiarkan menerusi Astro iaitu siaran TVi di saluran 180. Kemajuan ini sedikit sebanyak telah menghapuskan jurang di antara masyarakat bandar dan luar bandar bagi mengkonsolidasikan lagi perpaduan kaum di Sarawak.

     Setelah sekian lama ditelusuri, ternyata bahawa pembinaan Kampung Budaya yang terletak di bandar Kuching juga adalah merupakan satu simbol penyatuan perpaduan di Sarawak. Hal ini terbukti berkiblatkan peranan penting yang wajib dimainkan oleh Kampung Budaya ini iaitu berperanan dalam menyimpan seribu satu rahsia keunikan pelbagai kaum. Umpamanya, Kampung Budaya ini memelihara dan mengekalkan adat tradisi pelbagai kaum seperti pakaian tradisional, alat musik tradisional dan sebagainya. Sebagaimana yang diketahui, masyarakat di Sarawak terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa dan mempunyai budaya yang berbeza. Pengekalan adat tradisi ini tidak akan pernah dihentikan bagi memastikan generasi akan datang menjadi generasi baru yang akan berusaha mempertahankan adat tradisi yang tidak ternilai harganya. Bak kata pepatah, tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Selain itu, Kampung Budaya ini juga bertujuan untuk mendedahkan segala keunikan tarian etnik daripada suku kaum yang berbeza seperti tarian Ngajat yang akan ditarikan semasa Hari Gawai Dayak serta membolehkan seseorang individu mempelajari tarian etnik yang berbeza dari segi gerak tarinya mengikut bangsa dan budaya masing-masing. Oleh sebab itu, pembinaan Kampung Budaya ini amatlah signifikan sekali dalam memainkan peranan penting iaitu menyatupadukan perpaduan kaum di Sarawak.

     Baram Regatta adalah merupakan satu wadah penting dalam pembentukkan perpaduan kaum khususnya bagi masyarakat di kawasan daerah Baram yang terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi masyarakat di daerah Baram khasnya Iban, Kenyah, Kayan, Lirong dan Madang, Baram Regatta bermula dengan sejarah perlumbaan perahu perang yang membabitkan kira-kira 60 hingga 70 pendayung. Sebelum bermulanya Baram Regatta ini, pertelingkahan sering kali terjadi dalam kalangan masyarakat setempat. Selain itu juga, aktiviti memotong kepala yang sering berlaku antara kaum-kaum pribumi di Lembah Baram telah mendorong pemerintah pada masa itu bagi mewujudkan Pusat Pentadbiran di Marudi. Pada tahun 1884, Charles Hose telah memegang jawatan sebagai Pegawai Kadet dengan Perkhidmatan Awam Sarawak serta dilantik sebagai Residen Baram dalam tahun 1891. Semasa berkhidmat di Baram, Hose telah mengelolakan Majlis Pengaman di kubunya dan dikenali sebagai Kubu Hose sekali gus membawa kepada penganjuran Baram Regatta yang telah berjaya menghapuskan serta melupuskan persengketaan kaum-kaum pribumi ketika itu. Keseronokan dan kegembiraan menyaksikan perlumbaan perahu perang ketika itu menyebabkan penduduk berbilang kaum melupakan sengketa lama. Baram Regatta ini juga menarik minat pelbagai bangsa dari kawasan lain dan berkumpul bersama untuk menyaksikan perlumbaan ini serta dapat mengeratkan lagi perpaduan kaum yang telah menyebabkan negeri Sarawak dijadikan sebagai negeri contoh dalam menyatupadukan perpaduan kaum.

     Konsep Rumah Terbuka telah berjaya menyatupadukan perpaduan kaum di Sarawak disebabkan kepelbagaian suku kaum serta mempunyai perayaan yang berbeza mengikut adat tradisi kaum masing-masing . Konsep Rumah Terbuka ini bermaksud satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Sarawak. Kepelbagaian suku kaum di Sarawak seperti Iban, Melayu, Cina, Kelabit, Kenyah, Kayan, Bidayuh, Penan, India dan sebagainya telah menatijahkan pelbagai perayaan yang diadakan. Umpamanya, Deepavali, Tahun Baru cina, Hari Natal, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai Dayak dan sebagainya. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka. Matlamat utama Konsep Rumah Terbuka ialah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat melalui perkongsian perayaan dalam suasana yang aman dan harmoni. Konsep Rumah Terbuka yang diwujudkan memberi banyak kepentingan terutamanya bagi mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di Sarawak. Perpaduan yang terjalin sekaligus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi dalam usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang berjaya menyatupadukan perpaduan kaum. Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum memahami budaya kaum-kaum lain. Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Umpamanya, orang-orang India, Cina, Iban, Kayan, Kenyah, Bidayuh, Penan dan sebagainya akan merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Ini dapat membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain kemudian berusaha untuk memahaminya sekaligus dapat mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

     Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa negeri Sarawak adalah negeri yang berupaya untuk dijadikan sebagai negeri contoh yang telah berjaya menyatupadukan dan mengukuhkan perpaduan kaum atas dasar kepelbagaian suku kaum di seluruh pelosok negeri Sarawak. Bukan itu sahaja, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik dalam kalangan masyarakat di Sarawak adalah amat penting bagi memastikan perpaduan kaum terjamin. Tambahan pula, hubungan kaum yang harmoni adalah kunci utama kejayaan bagi mengukuhkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Sarawak. Bagi mencapai kemajuan, negeri Sarawak memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Justeru, masyarakat setempat juga perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1 Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Oleh itu, rakyat negeri Sarawak haruslah berhempas-pulas dalam menjayakan dan merealisasikan aspirasi utama negeri Sarawak agar menjadi sebuah negeri contoh yang telah berjaya menyatupadukan perpaduan kaum.