dubb95.blogspot.com

dubb95.blogspot.com

About me

12 July 2013

STPM : Kepentingan Modal Insan dan Langkah-Langkah untuk Melahirkannya


     Marcapada ini ,masyarakat pembangun modal insan berazam dan berusaha untuk melahirkan lebih ramai modal insan kelas pertama yang akan menjanjikan sebuah tamadun yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.‘Minda Kelas Pertama’ merupakan modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia yang merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.‘Minda Kelas Pertama’ memerlukan segenap usaha serta komitmen daripada setiap peringkat masyarakat untuk melahirkan modal insan. Setiap etnik, kelas sosial, komuniti dan institusi perlu mengambil bahagian dalam merealisasikan misi ini.Terdapat beberapa kepentingan modal insan dan langkah-langkah untuk melahirkannya.  

     Kepentingan yang pertama adalah untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang mampu berdaya saing dan berdaya maju dengan negara-negara membangun yang lain agar mampu dijadikan contoh oleh negara-negara di rantau Asia.Hal ini kerana modal insan kelas pertama adalah merupakan golongan tenaga muda yang mempunyai potensi yang amat bernilai untuk dibangunkan bagi memajukan lagi segala sektor-sektor yang penting di Malaysia .Golongan ini menjadi tulang belakang bagi memastikan negara Malaysia akan sentiasa membangun seiring dengan negara-negara maju yang lain.Golongan ini juga dianggap sebagai benteng harapan untuk maju ke hadapan dan sebagai sumber penting bagi membentuk kemajuan negara.  

     Kedua, modal insan kelas pertama amat penting untuk menjana kemajuan negara Malaysia dalam semua bidang agar mampu menempa kemajuan serta perubahan keatas negara Malaysia dari pelbagai aspek penting.Hal ini terbukti apabila golongan minda kelas pertama ini telah mencuba untuk melakukan tranformasi secara total atau perubahan drastik yang menyeluruh terhadap cara dan gaya hidup,adat resam, budaya,dominasi ekonomi dan kewangan,perkembangan ilmu pengetahuan dan pendidikan,teknologi maklumat,media cetak dan eletronik terhadap masyarakat dalam kalangan rakyat Malaysia.Tindakan golongan ini melakukan tranformasi adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia agar selaras dengan taraf hidup masyarakat di negara-negara membangun yang lain.  

     Strategi untuk melahirkan modal insan kelas pertama adalah melalui pendedahan meluas terhadap penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang oleh golongan modal insan.Hal ini menunjukkan bahawa golongan ini perlu menyediakan diri dengan memiliki kemantapan informasi serta kemahiran dalam pelbagai bidang untuk melahirkan golongan modan insan kelas pertama.Melalui penguasaan ilmu pengetahuan ini,kita dapat mendedahkan bidang sains dan teknologi kepada seantero masyarakat Malaysia.Tindakan ini merupakan cara bagi melahirkan modal insan kelas pertama.Perkembangan era globalisasi adalah merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi oleh modal insan agar mampu menghasilkan modal insan kelas pertama yang berpengetahuan,berinovasi serta berkualiti tinggi.  

     Seterusnya,melalui pengenalan Dasar 1 Murid 1 Sukan juga dapat melahirkan modal insan kelas pertama yang memiliki keseimbangan antara keperluan akademik dan keperluan fizikal.Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan berminda kelas pertama bukan sahaja melalui pencapaian akademik malah melalui pencapaian dalam bidang sukan. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani,emosi,rohani dan intelek. Melalui dasar ini juga kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui bidang sukan.  

     Selain itu,Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga dapat menghasilkan modal insan yang menjadi tunggak utama kepada pembangunan negara pada masa akan datang.Melalui program ini,modal insan dapat dibentuk menjadi insan yang bertanggungjawab serta mampu melakukan sesuatu perkara dengan usaha yang bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.Golongan yang menyertai PLKN ini adalah golongan sasaran utama bagi melahirkan modal insan disebabkan oleh daya pemikiran yang dinamik,progresif dan eksklusif yang ada pada mereka. Dengan itu,mereka telah diletakkan sebagai generasi pelapis yang mampu mewarisi tampuk pemerintahan negara suatu hari nanti berdasarkan corak dan acuan modul kerajaan.  

     Kesimpulannya,dapatlah dirumuskan bahawa pembangunan modal insan bermindakan kelas pertama amat penting bagi menjadikan Malaysia bukan sahaja negara maju yang beridentitikan diri sendiri,malah akan menjadi contoh bagi negara-negara di seluruh pelosok dunia . Dalam konteks dunia global hari ini, modal insan yang benar-benar berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan dan kemegahan. Oleh itu,bersama-samalah kita melangkah maju ke hadapan berpaksikan pengetahuan serta bukan sahaja sekadar semata-mata ingin menjadi negara maju tetapi negara maju yang mempunyai identitinya sendiri serta mampu melahirkan lebih ramai lagi modal insan kelas pertama.